SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI MAAHAD TAHFIZ ISMAIL 2025
15 April 2025: Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat MTI telah diadakan pada hari Selasa, 15 April 2025 selepas pelajar pulang daripada cuti pertengahan semester 1. Semua pelajar, guru dan kakitangan berkumpul di Surau MTI bermula jam 10 pagi.
Sambutan Hari Raya dimulakan dengan ucapan kata-kata aluan dari pengerusi majlis dan seterusnya ucapan dan perasmian oleh Prof Zaini. Masing- masing memakai baju raya dan membawa pelbagai jenis juadah dan kuih raya untuk dikongsi bersama-sama. Selepas itu, rakaman video Hari Raya Aidilfitri guru-guru dan pelajar ditayangkan di hadapan untuk tontonan warga MTI. Sambutan Hari Raya Aidilfitri diakhiri dengan aktiviti bersalaman, fotografi dan seterusnya jamuan makan di dewan makan.
PROGRAM TEKNIK BELAJAR BERKESAN
16 April 2025: Program Teknik Belajar Berkesan telah diadakan untuk pelajar tingkatan 5 bagi membantu mereka membuat nota secara berkesan dan mudah diingati dengan teknik-teknik tertentu. Perkara ini dikongsi oleh Encik Osman Affan. Bengkel ini dijalankan di bilik mesyuarat Ma’ahad Tahfiz Ismail (MTI) dan disertai oleh 17 orang pelajar tingkatan 5 serta seorang guru penyelaras iaitu Cikgu Seri. Bengkel ini bermula pada pukul 9 pagi sehingga 12 petang.
PEPERIKSAAN TAQWA
21 - 23 April 2025: Peperiksaan TAQWA telah dijalankan pada 21 – 23 April untuk pelajar Tingkatan 5. Peperiksaan TAQWA ‘Aliyah adalah sebagai persediaan pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke Mesir selepas tamat SPM. Peperiksaan ini terdiri daripada subjek Quran, Qiraat, Mutun, Nahu, Rasm dan Sorof.
LATIHAN SUKAN DAN AMAL ISLAMI (PITAS) PERINGKAT DAERAH
22 - 29 April 2025: MTI telah menyertai latihan sukan dan Amal Islami di bawah PITAS ke peringkat daerah. Sukan yang MTI sertai ialah sukan bola sepak, bola tampar, sepak takraw, badminton dan memanah. Manakala Amal Islami yang disertai syarahan, khutbah, khat, hafazan, tilawah, musabaqah hadis, tafsir al-Quran dan nasyid. Semoga pelajar yang menyertai pertandingan berjaya melayakkan diri untuk bertanding ke peringkat Daerah yang akan berlangsung pada bulan Mei.
KEPUTUSAN PEPERIKSAAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM) TAHUN 2024
24 April 2025 : Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk tahun 2024 telah diumumkan pada 24 April 2025 pada hari Selasa. Seramai 19 orang pelajar Ma’ahad Tahfiz Ismail telah menduduki peperiksaan SPM bagi tahun 2024 dan mengambil 8 subjek. Keputusan peperiksaan SPM ini telah diadakan di bilik mesyuarat Ma’ahad Tahfiz Ismail dan disempurnakan oleh Pengetua MTI, Syeikhul Maqari Dr. Othman Hamzah. Gred purata sekolah (GPS) bagi peperiksaan SPM tahun 2024 ialah 1.57.
Seramai 2 orang pelajar mendapat keputusan 8A, 7 orang pelajar mendapat keputusan 7A dan 6 orang pelajar mencapai keputusan 6A.
Pihak Ma’ahad Tahfiz Ismail sekali lagi ingin mengucapkan tahniah dan syabas bagi para pelajar yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang. Semoga para pelajar terus dapat mengekalkan kecemerlangan ini pada masa akan datang.
PROGRAM BAHASA ARAB
28 – 29 April 2025: Minggu Bahasa Arab peringkat MTI telah diadakan selama 2 hari pada 28 – 29 April 2025 untuk menanam minat dan cintakan bahasa Arab dalam diri pelajar. Ini kerana Bahasa Arab merupakan Bahasa Al-Quran yang mulia. Antara aktiviti yang dijalankan semasa minggu bahasa Arab ialah pertandingan pidato bahasa Arab, Pertandingan kuiz Bahasa Arab dan pertandingan Teka & Tampal untuk sekolah rendah. Diharapkan agar minggu bahasa Arab ini dapat mengukuhkan lagi penguasaan pelajar dalam bahasa Arab dalam pertuturan dan penulisan.